Senarai anggota Negara-negara Komanwel

Negara-negara anggota Komanwel yang terkini (biru tua), anggota yang digantung terkini (hijau), bekas negara anggota (jingga), serta wilayah luar negeri dan wilayah tanggungan mahkota (biru muda).

Negara-negara Komanwel ialah organisasi kesatuan sukarela yang terdiri daripada 52 buah negara berdaulat. Hampir kesemua negara tersebut merupakan bekas jajahan British atau wilayah tanggungan bagi jajahan itu.

Tiada pemerintahan dalam Komanwel yang mempunyai kuasa terhadap yang lain khususnya dalam hal kesatuan politik. Selain itu, Komanwel merupakan pertubuhan antarabangsa di mana negara-negara anggota mempunyai pelbagai latar belakang sosial, siasah dan ekonomi dianggap sama dalam hal status dan bekerjasama di dalam rangka kerja dengan nilai dan matlamat yang sama, seperti yang digariskan dalam Pengisytiharan Singapura yang dikeluarkan pada 1971.[1] Nilai-nilai dan matlamat-matlamat sepunya termasuklah demokrasi, hak asasi manusia, tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang, kebebasan individu, egalitarianisme, perdagangan bebas, hubungan berbilang hala dan keamanan dunia yang dibawa melalui projek dan perjumpaan pelbagai hala seperti Sukan Komanwel yang diadakan setiap empat tahun sekali.[2]

Simbol kesatuan bebas ini ialah Baginda Ratu Elizabeth II, yang berkhidmat sebagai Ketua Komanwel. Kedudukan ini bagaimanapun tidak memberikannya kekuasaan siasah atau eksekutif kepada mana-mana anggota Komanwel; kedudukan ini hanyalah simbolik manakala Setiausaha Agung Komanwel merupakan ketua eksekutif Komanwel.[3]

Komanwel secara rasmi dibentuk pada 1931 apabila Statut Westminster memberikan pengiktirafan undang-undang kepada kedaulatan dominion. Dikenali sebagai "Komanwel British", anggota-anggota asalnya ialah United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Ireland dan Newfoundland, walaupun Australia dan New Zealand tidak menerima pakai statut itu sehinggalah pada tahun 1942 dan 1947 masing-masing.[4] Pada 1949, Pengisytiharan London telah ditandatangani dan menandakan kelahiran Komanwel moden dan mengguna pakai namanya yang terkini.[5] Anggota terbaru kesatuan ini ialah Rwanda yang menyertainya pada 29 November 2009.[6] Negara anggota yang keluar paling terkini ialah Maldives yang memutuskan hubungannya dengan Komanwel pada 13 Oktober 2016.

Setakat April 2017, daripada negara anggota yang menyertai Negara-negara Komanwel, tiga negara adalah dari Eropah, 12 dari Amerika Utara dan Caribbean, satu di Amerika Selatan, 18 buah negara dari Afrika, tujuh di Asia dan sebelas dari Oceania. Terdapat lapan bekas negara anggota, empat daripadanya tidak wujud lagi sebagai entiti merdeka (tetapi membentuk sebahagian daripada negara anggota yang terkini). Negara-negara anggota Komanwel mempunyai jumlah penduduk seramai 2.2 bilion, hampir satu pertiga daripada populasi dunia; 1.21 bilion tinggal di India dan 95% tinggal di benua Asia dan Afrika.[7]

Kini, enam belas negara anggota merupakan alam Komanwel, dengan Ketua Komanwel sebagai ketua negara. Lima negara yang lain mengamalkan pemerintahan beraja dan memiliki pemerintah monarki yang tersendiri (Brunei Darussalam, Lesotho, Malaysia, Swaziland, Tonga), dan selebihnya adalah negara republik. Republik Ireland (sejak 1949), Zimbabwe (2003), Gambia (2013) dan Maldives (2016) merupakan bekas negara anggota. Afrika Selatan dan Pakistan pernah meninggalkan pertubuhan kesatuan Komanwel dan kemudian menyertai semula.

  1. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama A1
  2. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama Singapore Declaration text
  3. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama A2
  4. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama A3
  5. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama A4
  6. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama rwanda
  7. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama A5

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search